Thursday 9 October 2014

Wanita Inspirasi Dunia

Alhamdulillah, dah dekat sebulan HCSR 2014 berlalu meninggalkan kita. Gembira dapat menjadi salah satu drp penggerak HCSR.. Moga stiap apa yg tlah disampaikan dalam HCSR boleeh di ambil sebagai panduan dalam kehidupan kita sehari-harian.

Syukur juga artikel berkenaan HCSR 2014 diterima masuk paper Utusan Malaysia dan Berita Harian 2 minggu yang lepas. Penulisan artikel bukanlah mudah.perlukan fakta yg tepat .






Inilah penulisan artikel ku yang pertama atas bimbingan saudara Azmil Abu Seman(YDP USIM) dan Kak Syakirin (TYDP USIM). Dan inilah yg memberi semangat untuk aku terus menulis. kat bawah ini aku nak sertakan artikel ku yang sebenar sebelum diedit masuk paper :)




Setiap insan tidak akan terlepas dari dibelenggu pelbagai masalah termasuklah kaum hawa. Isu akidah, pergolakan dalam keluarga , permasalahan kaum wanita serta masalah sosial. Hal ini terjadi disebabkan kerana kurangnya aplikasi nilai murni dalam kehidupan seharian. Namun, tidak dinafikan bahawa kaum wanita mula melebarkan pengaruhnya melalui bidang keilmuan dan kepimpinan sehingga boleh diibaratkan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki. Pada hakikatnya, tuntutan agama masih kurang dipraktikkan sehingga meledaknya pelbagai gejala negatif dalam keluarga,masyarakat dan Negara.
Sejajar dengan masalah yang timbul, Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) USIM telah mengambil satu inisiatif baru bagi mengurangkan masalah tersebut. Atas rasa tanggungjawab dan prihatin, pihak MPP USIM  mula menganjurkan sebuah konvensyen yang diberi nama Hawa Convention 1.0 bermula Disember 2012 dan kesinambunganya Hawa Convention 2.0 pada September 2013 di bawah pimpinan MPP USIM sesi 2012/2013 dengan jayanya.
Hawa Convention Special Return peringkat kebangsaan dibawah pimpinan Timbalan Yang Dipertua MPP USIM sesi 2013/2014 yang bertemakan “Women Inspiring The World” hadir untuk kesekian kalinya bagi menyuntik inspirasi baru buat semua kaum hawa. Konvensyen kali ini  dijangka akan melibatkan semua siswi dan kakitangan wanita USIM, siswi di seluruh IPTA dan IPTS di Malaysia, orang awam serta wanita yang bukan beragama Islam.. Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan serta pengetahuan yang menyeluruh berhubung dengan wanita, secara berperingkat sama ada individu, keluarga, kepimpinan dalam masyarakat, negara mahupun dunia dan segala informasi berhubung ruang lingkup wanita agar peserta konvensyen ini dapat berperanan dan berfungsi secara efektif dan proaktif sebagai seorang wanita.
Konvensyen seumpama ini dilihat sebagai satu konvensyen yang sangat baik bagi semua siswi di seluruh IPTA dan IPTS juga seluruh wanita di Malaysia kerana hasil daripada konvensyen ini akan dapat memberi suatu pengetahuan yang sangat bermanfaat dan kefahaman yang sangat berguna berkenaan wanita dari pelbagai aspek pengetahuan sama ada dari sudut fiqh, ibadat, akhlak,keluarga dan juga syariah.
 Peserta konvensyen ini menyaksikan perkongsian ilmu oleh para ilmuan yang profesional dalam pelbagai bidang seterusnya membawa kepada impak yang sangat positif.  Modus operandi konvensyen ini seakan-akan menyahut tuntutan Allah swt supaya menuntut ilmu kerana ianya satu kefarduan ke atas setiap individu Muslim sebagaimana yang diriwayatkan oleh hadith Ibn Majah.
Sebagai siswi yang terdidik, mereka tidak seharusnya memikirkan soal yang remeh seperti cinta dan bersuka-suka agar mereka lebih terkehadapan, proaktif dan berfikir diluar kotak fikiran. Dengan hadirnya ilmuan seperti Dr Ahmad Wifaq, yang membincangkan soal ’Wanita dalam Maqasid Syariah’ maka misi konvensyen akan mampu dicapai.  Konvensyen ini juga dilihat membawa sedikit kelainan dengan menampilkan selebriti tanah air iaitu Catriona Ross, Salima Habibi dan Pencetus Ummah Rahmat dalam sebuah forum, ’Wanita dan Glamor’. Slot ini bakal mengenengahkan cara wanita berhadapan dengan dunia hari ini yang terdedah dengan fitnah kerana wanita signifikan dengan fitrah yang suka kepada perhatian. Selain itu, slot ini juga menekankan bagaimana ingin berpersonaliti menarik anjuran Islam. Hal ini selari dengan apa yang dituntut dalam Islam seperti apa yang terkandung dalam hadith riwayat Muslim dan Tirmizi mafhumnya, ‘Sesunguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan’.
            Skop konvensyen ini bukan sekadar menyaksikan pembentangan kertas kerja, malah pihak penganjur turut menghadirkan satu slot demostrasi masakan oleh Chef Hanieliza yang juga merupakan penulis buku masakan di PTS Publishing. Tambahan pula, konvensyen ini turut menghiburkan para peserta yang hadir dengan sebuah konsert yang dihadiri artis nasyid terkenal tanah air iaitu kumpulan Nowseeheart serta seorang penyanyi antarabangsa yang popular menerusi lagunya “Don’t Forget Allah” iaitu Farid Sanullah. Konsert  yang diadakan ini membuktikan bahawa Islam turut menganjurkan umatnya untuk berhibur selagi tidak melangkaui batasan syariat yang telah ditetapkan.
            Sehubungan dengan itu, MPP USIM serta semua yang terlibat menaruh harapan besar agar segala usaha ini mendapat sokongan dan diterima oleh semua golongan masyarakat. Dalam pada itu, laungan ‘Mempelopori Sains Islam, Memimpin Keilmuan’ yang sering diuar-uarkan USIM akan dapat dicapai sekiranya mahasiswi bangkit mengubah paradigma mereka seterusnya mampu dijadikan sebagai sumber inspirasi kepada masyarakat diluar selari dengan tema  konvensyen ini, ‘Women Inspiring the World’. ( Wanita Inspirasi Dunia)



Selamat Menulis. Wassalam

No comments:

Post a Comment