Friday 23 October 2015

Kembara Akidah di Bumi Marawi

Assalamualaikum sahabat... lama benor x jenguk blog ni....keje tak banyak pun, tp sebab makin malas.. bnyak kenangan terjadi di marawi Philippines swaktu GISO bru ni... tak terluah dek kata2. tp, aku ada tulis satu artkel then dah msuk ke Berita Kampus, USIM dan Utusan Malaysia. Alhamdulillah...



Kembara Akidah Bumi Marawi
Menelusuri kisah-kisah penderitaan rakyat di Rohingya, Syria, Palestin dan lain-lain negara minority Islam begitu menyentap hati penulis. Hampir setiap hari di dada akhbar dan media massa menghidang isu kemasyarakatan global yang penuh menyayat hati. Tiada siapa yang mampu memekakkan telinga dan terus membutakan mata keatas apa yang telah menimpa saudara seakidah ini. Berat mata memandang kesengsaraan mereka, namun berat lagi bahu yang memikul bebanan kesengsaraan yang melanda.
Pada tahun 2011, Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) telah melancarkan Global Islamic Student Outreach (GISO) bagi mengukuhkan agenda pengantarabangsaan dan melahirkan graduan yang berkemahiran holistik dan berdaya saing. Bekas Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Muhammad Muda berkata, kelompok sasaran program GISO adalah dari kalangan masyarakat minority Islam dan Pertubuhan Islam Sedunia (OIC)yang hidup serba kedhaifan, kurang dari segi pendidikan dan kesihatan.
Sejajar dengan isu yang timbul, mahasiswa Pengajian Akidah dan Agama (PERWADAH) tampil untuk bahu-membahu sesama masyarakat yang kurang bernasib baik ini. Berbekalkan tenaga seramai 20 orang mahasiswa dan dua orang pensyarah pengiring, bumi Marawi Filipina menjadi sasaran GISO kali ini. Kembara GISO Filipina selama lapan hari ini diketuai oleh saudara Muhamad Zakwan Bakar yang juga merupakan Mahasiswa tahun empat Pengajian Akidah dan Agama.
Antara modus operandi GISO kali ini ialah tidak lain dan tidak bukan untuk menyahut matlamat asal GISO dalam memberi khidmat masyarakat diperingkat antarabangsa, seterusnya menjadi mahasiswa yang prihatin dengan kebajikan masyarakat Islam seluruh dunia. Selain itu, misi GISO ini juga turut menyalurkan sumbangan melalui perkongsian ilmu oleh salah seorang peserta GISO, saudara Muhammad Saiful Azim melalui seminar yang berkisar tentang peranan masjid di Malaysia. Ditambah pula dengan sedikit sebanyak perkongsian budaya hidup dan adat resam bersama masyarakat Marawi.

 Muhamad Zakwan juga berkata pada majlis perasmian GISO yang diadakan di Sultan Disomimba Elementary School, matlamat penting GISO kami adalah untuk mengenali budaya dan mengeratkan lagi ukhuwah silaturrahim dan jalinan hubungan yang baik sesama Islam Filipina-Malaysia supaya lebih mengenali satu sama lain. Hal ini amat sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat ke 13 yang membawa maksud:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada kalangan lelaki dan perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang mulia dikalangan kamu adalah yang paling bertakwa.”
Amat jelas sekali pegangan akidah masyarakat Islam di Marawi masih utuh dengan berdirinya madrasah tahfiz yang melahirkan ramai permata-permata yang hafaz 30 juz al-Quran. Malah, Mindanou State University (MSU) turut melahirkan ramai graduan muslim iaitu 80% anak muslim dan 20% merupakan non-muslim dari Turki dan Korea.
Menurut Dr. Muhammad Nasief S. Disomimba yang juga merupakan anak jati Marawi merangkap pensyarah pengiring, Marawi merupakan tempat yang didiami oleh sejumlah majoriti masyarakat Islam namun serba kekurangan. Dapat kami saksikan dengan mata sendiri bahawa kenderaan utama mereka adalah (van dan motor) kenderaan awam . Bukan itu sahaja, mereka turut berdepan dengan masalah catuan air dan dan bekalan eletrik yang sering terputus. Struktur bangunan sekolah dan madrasah tahfiz yang uzur sangat menyentuh hati kami. Jauh berbeza keadaan mereka dan kita. Namun itu bukanlah penghalang besar bagi mereka lantaran terbiasa hidup susah.
            Dalam mematuhi suruhan junjungan besar Rasulullah SAW agar memuliakan tetamu, kami disambut penuh hormat dan meriah meskipun kehidupan mereka dhaif. Malah diraikan dengan pelbagai jenis juadah. Sungguh masyarakat itu ramah dan sangat menerima dengan hati terbuka akan jalinan silaturrahim dari Malaysia. Komunikasi bukanlah satu masalah besar bagi kami sepanjang berprogram disana kerana majoriti dari kalangan mereka mampu mengaplikasikan bahasa inggeris dan arab dengan fasih dalam kehidupan seharian mereka.

Skop GISO bukan terhenti pada perkongsian ilmiah sahaja, malah kami turut menyumbangkan sumbangan material untuk memenuhi keperluan ibadah masyarakat muslim disana seperti sumbangan al-Quran wakaf sempena Projek Wakaf Sejuta Al-Quran, sejadah dan tudung. Misi GISO kami turut menumbangkan dua ekor lembu sempena kenduri bersama orang kampung di desa Marawi. Dari situ, jelas sikap kerjasama dan toleransi yang ditunjukkan oleh masyarakat dua serumpun ini. Selain itu, bimbingan rohani dan moral juga penting buat golongan Islam yang terpencil. Sebagai mahasiswa yang terdidik dan  proaktif, kita haruslah menyahut seruan aktiviti kemasyarakatan dengan sikap terbuka dan minda yang positif. Dengan adanya sifat-sifat diatas, maka integrasi aqli dan naqli yang sering dilaung-laungkan oleh USIM akan dapat dicapai. Dunia memuji amalan murni seperti GISO yang telah diterapkan kepada pelajar-pelajar USIM.
Imam Syafii menukilkan dalam syair beliau yang berbunyi:
Dan tiadalah duduk setempat bagi orang cerdik dan beradab itu dianggap sebagai rehat,
Tinggalkanlah tanah air dan mengembaralah,
Berkelanalah.
Engkau akan dapat pengganti orang yang kamu tinggalkan,
Berusahalah,
Kerana keindahan hidup itu ada pada berpenat-penatan,
Aku melihat air yang tenang bertakung mencemar kandungannya sendiri,
Sekiranya ianya mengalir, ia akan baik.
Sekiranya ia tidak mengalir, ia akan tercemar.
Sehubungan dengan itu, mahasiswa Pengajian Akidah dan Agama serta semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung menaruh harapan besar agar segala usaha ini mendapat sokongan dan diterima oleh semua golongan masyarakat di luar sana malah akan diteruskan lagi oleh generasi seterusnya. Menyumbanglah dengan apapun sumbangan supaya amal kebajikan tidak hanya terhenti disini, akan ada nilaiannya disisi Allah kelak.  

Penulis: Siti Nor Hayati bt Mohd Daud
            Unit Program dan Pengisian Giso Marawi Filipina 2015
            Mahasiswa Pengajian Akidah dan Agama, USIM tahun 4.



 http://news.usim.edu.my/berita-kampus/item/680-kembara-akidah-usim-ke-bumi-marawi-filipina





Utusan Malaysia 10 October 2015... 

Jemput baca semua......