Saturday 15 November 2014

Manhaj Talaqqi Bil Qabul(pengajian bersanad)






Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Penyayang. Telah ditugaskan ke atas diriku untuk menonton satu video yang cukup bermanfaat. Video berdurasi selama 50 minit yang telah disampaikan oleh Syeikh Usamah tentang Manhaj al-Azhar (Talaqqi bil Qabul).
Sebagaimana yang kita telah sedia maklum, pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat sentiasa berdamping dengan Rasulullah. Disaat terdapat  persoalan dan kekeliruan, Rasulullah menjadi tempat rujukan yang paling utama. Segala-galanya boleh diselesaikan dengan mudah.
Namun, benarlah firman Allah yang bermaksud, “Setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati”. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, umat Islam mula berpecah menjadi beberapa kumpulan seperti Syiah, Khawarij, Murjiah, Jabariah dan Qadariah. Zaman terus berlalu sehingga muncullah para ulama’ ijtihad dan imam empat mazhab iaitu, Imam Hanbali, Imam Maliki, Imam Syafie, dan Imam Hanafi.
Hadirnya ulama-ulama mazhab dan ulama ijtihad,lalu sejarah perkembangan ilmu bermula. Ahli ilmu berusaha sesungguh hati mereka untuk menuntut ilmu sehingga sebahagian daripada mereka telah menjadi pakar dalam ilmu-ilmu tertentu. Selepas itu, lahir sebanyak 90 mazhab. Akan tetapi, hanya empat mazhab daripadanya yang menjadi keutamaan.
Selain itu, lahir ramai ulama dalam bidang fiqh dan tidak ketinggalan juga ulama dari bidang akidah seperti Abu Hasan al-Asy’ari. Umat Muhammad SAW berdiri atas dasar akidah yang dibawa oleh Abu Hasan al-Asy’ari melalui situasi Talaqqi bil Qabul. Manhaj ini wajib untuk ummat secara akademik. Maka, dari manhaj ini telah berkembang madrasah ilmu pada kurun kelima dan keenam.
Ulama hebat Hujjatul Islam Imam al-Ghazali telah mengambil pendekatan konsep pembelajaran dan pengajian(talaqqi) di masjid dalam bidang hadis, fiqh, al-Quran dan sebagainya. Walaupun ilmu keagamaan telah berkembang, pembelajaran astronomi dan ilmu-ilmu lain tetap terus berkembang sehingga berkembangnya madrasah ke Syam.
Pada tahun 656H, jatuhnya Khilafah Abbasiah di tangan Tatar. Selepas itu, Kaherah mulai diiklan secara meluas lalu Kaherah menjadi singgahsana ummah dan pusat dunia pada waktu itu. Kaherah telah membentuk satu tamadun yang baru dalam peradaban dunia dengan adanya pemimpin-pemimpin terkemuka, wujudnya bangunan-bangunan, hatta Ibn Khaldun pada awal kurun  kesembilan berkata dalam kitabnya yang masyhur ‘Kitab Mukaddimah’ : “ Kami melihat pengajian pada waktu kita ini adalah di kota Kaherah, Mesir. Seolah-olah Mesir menjadi ibu kota kepada ilmu dan thaqafah pada dunia seluruhnya. Hal ini semuanya berlaku pada pertengahan kurun ke tujuh atau secara tepatnya pada tahun 658H.
Umat Islam pada ketika itu menerima manhaj al-Azhar (Talaqqi bil Qabul). Selain itu, Ulama terkenal seperti ulama Haramain telah menjadi pemikir, tempat rujukan kepada kitab-kitab dan aliran mereka. Maka jadilah al-Azhar sebagai kayu ukur dan Azhar as-Syarif memiliki suasana ilmu dikemuncak aktif kala itu.
Melalui Azhar as-Syarif ini , maka lahirlah ramai ulama yang mahir dalam pelbagai bidang.  Al-Azhar pada ketika itu telah mengajar hampir 70 bidang ilmu seperti fiqh, syariat, akidah, perubatan, astronomi dan pelbagai jenis ilmu lagi. Tidak hairanlah wujudnya ulama yang mampu menguasai 30 bidang ilmu seperti al-Allamah Abd Mun’im ad-Damanhuri dan Syeikh Hasan Attar.
Demikianlah gambaran Talaqqi bil Qabul yang kita nampak. Terlalu banyak kelebihannya hatta mampu melahirkan ulama yang luar biasa hebatnya dalam menuntut ilmu.