Tuesday 19 March 2013

oh my aqidah!


Assalamualaikum sahabat-sahabat yang tercinta.
Salam satu akidah buat semua saudara seagama.  Hakikat bahawa kita sebagai seorang muslim dan pelajar sekolah agama amnya perlu memantapkan akidah dalam diri sendiri terlebih dahulu sebelum kita memperbetulkan akidah orang lain. Pernah tak kita ditanya oleh non-muslim persoalan-persoalan berkaitan agama kita terhadap kita? berkaitan aurat mungkin? Kenapa tudung diwajibkan buat muslimah? Benarkah Allah itu wujud? Soal trinity atau perbezaan islam dan kristian. Arghhh soalan sebegini agak membebankan benak kita. agak-agak,boleh tak kita nak menunaikan jawapan yang dituntut mereka?
Mungkin boleh, namun agak sukar untuk kita kemukakan hujah yang kukuh bagi meyakinkan orang yang bertanya. Untuk menjawab persoalan berkaitan akidah terlalu sukar sebenarnya. Ia memerlukan ilmu pengetahuan yang tinggi dan mantap bukan sekadar andaian biasa. Sekiranya kita tersalah menjawab, maka rosaklah akidah kita. malah orang yang bertanya juga semakin menjauh dari agama islam. Ah, alangkah takutnya jika hal yang sedemikian berlaku pada kita sedangkan akidah adalah tunjang dan akar utama dalam hidup kita.
Tambahan lagi, saya selaku student pengajian agama pengajian akidah dan agama amat besarlah ujian yang menanti diluar sana. Mungkin bukan sekarang, tapi akan datang. Siapa tahu?  Maka apa yang perlu kita lakukan?
PERSIAPKANLAH DIRI!
Hari ini, saya telah membeli 5 buah buku yang saya kira cukup penting iaitu perdebatan islam kristian antara tokoh terkenal(Sheikh Ahmad Deedat) dan orang2 kristian. Antaranya:
1.      Jesus Christ(Nabi Isa) Bukan Tuhan by Sheikh Ahmad Deedat vs Dr.Anis Shorrouh.
2.      Rasulullah Dalam Kitab Suci Kristian(kompilasi minda:Sheikh Ahmad Deedat dan Sheikh Abd Wahhab Abd Salam Thawilah)
3.      Adakah Jesus Christ (Nabi Isa) Tuhan? By Sheikh Ahmad Deedat vs Pastor Stanley sjoberg.
4.      Adakah bible Firman Tuhan Yang Sebenar? By sheikh Ahmad Deedat Vs Pastor Stanley Sjoberg
5.      Benarkah Bible firman Tuhan? By sheikh Ahmad Deedat Vs Jimmy Swaggart.
Kelima-lima buah buku itu telah diterjemahkan oleh Muhammad Romzi Omar. Siapa yang tida terkenal dengan pendebat terkenal itu, Sheikh Ahmad Deedat? Jadi tak salahlah untuk kita mengupas apa-apa perbahasan yang terkandung dalam buku-buku ini.
Apa salahnya kita berhabis sedikit untuk Islam tercinta, betul tak? Ilmu itu tidak akan datang bergolek. Jadi kitalah yang perlu berusaha mencari ilmu itu. Macam promosi pula. Haa sebelum terlupa, ada sebuah lagi buku yang saya beli bersama-sama buku tadi iaitu Kaum-Kaum yang Pupus by Harun Yahya. So, kita boleh singkap kembali bagaimana kisah-kisah makhluk yang dikutuk oleh Allah seperti kaum ‘ad, thamud  dan kristian untuk diambil sebagai pengajaran dan ibrah. Harap semua boleh mengambil pengajaran dan ikhtibar meskipun benda itu telah lama berlalu. So, tunggu apa lagi? Ayuh membaca. Harap dapat khatam semua walaupun mungkin agak lambat lantaran esemen yang banyak menunggu giliran. Huhuh.
Firman Allah S.W.T: sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat org-orang yang berilmu.
Jadi tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad. Selamat membaca sahabat! Wallahu Taala ‘allam.

Friday 15 March 2013

abi habibi



ABI HABIBI…
27 feb 2009
Pagi jumaat yang sungguh nyaman dan cuaca yang begitu baik. Angina bertiup membelai pipi Qasrun yang mulus. Selesai membasuh pakaian kotor, qasrun mencapai nota balaghah. Banyak benda yang perlu dihafal meskipun persekolahan masih di awal tahun. Nota dibelek dari muka ke muka dan pipi ke pipi.
“Assalamualaikum..” Sapa suara yang cukup dirindui.
“Waalaikumussalam, ayah!” lantas salam dijawab mesra. Qasrun meluru menuruni anak tangga rumah untuk mendapatkan ayahnya. Tidak disangka ayahnya akan datang melawatnya di hari minggu.
“Kamu sihat, qasrun?” tanya ayah prihatin.
“Alhamdulillah. Ayah bagaimana? Datang seorangkah? Mak mana?”
“Mak kamu tak datang Qasrun. ayah datang dengan abang kamu, Fadli. Dia singgah di masjid tadi.” Jawab ayah sambil menunding jari ke arah yang dimaksudkan. Kelihatan Abang Fadli sedang berbual-bual dengan Pak Long(siak masjid).
“Nenek mana Qasrun? ayah tak nampak dia pun.” Soal ayah lagi.
“Nenek macam biasalah ayah. Pergi mencuci di rumah Cikgu Rahman. Sekejap lagi baliklah tu. Ayah duduklah dulu, qasrun bancuh air sebentar.” Langkah diatur ke dapur. Sudah tiga tahun qasrun tinggal bersama neneknya di rumah yang sedikit using ini setelah keluarganya terpaksa berpindah ke Pasir Tumboh. Kesempitan wang memaksa mereka berbuat demikian.
Kopi panas dan biskut kering dihidang di ruang tamu. Qasrun segera menjemput ayahnya dan abangnya yang baru melangkah masuk untuk menjamah minuman panas kegemarannya itu.
“Ayah datang ni kerana nak bagitahu kamu, ayah belum ada duit belanja untuk kamu. Ayah dah dua hari tak ke kuala untuk menjala ikan. Tapi ayah janji, hari Ahad ayah akan hantar duit belanja kamu di sekolah ya.” Jelas ayah. Penjelasannya menghiris perasaan kecil qasrun. bukan kerana ayahnya tidak mampu untuk menyediakan wang saku buatnya, tapi dia tidak  mahu ayahnya terbeban kerananya. Kedut-kedut di wajah ayah jelas menggambarkan keperitannya menyara dan membesarkan anak-anak.
“Ya Allah, tak mengapa ayah. Qasrun tak kisah pun. Lagipun qasrun masih ada duit belanja sebab nenek selalu aje bagi duit belanja ke sekolah. Ayah jangan risau pasal qasrun lagi ya.” Qasrun cuba menghapus kerisauan yang bermukin di hati ayahnya.
“Betulkah qasrun? kalau macam tu, lega sikit hati ayah.” Senyuman terukir dibibirnya. Itulah kelebihan ayah. Sentiasa tersenyum meskipun diri dihimpit derita.
“Qasrun, kami tak boleh lama-lama disini. Ayah ajak abang pergi rumah Pak Mat sekejap. Katanya dia kena serangan strok.” Abang Fadli bersuara.
“Innalillah. Benarkah? Jadi tak sempatlah ya nak tunggu nenek balik?” tanya qasrun.
“Hmm tak apalah qasrun. lain kali sajalah. Nanti sampaikan salam ayah pada dia.” Qasrun mencapai tudung lalu disarungkan ke kepala.
“MasyaAllah, panjang umur nenek kamu. Tengok tu, dia dah balik. Allah masih bagi jodoh nak jumpa dia lagi.” Ujar ayah tersenyum. Nenek melajukan langkah apabila melihat tetamu yang datang.
“Dah lama kamu samapai, Daud?” soal nenek tanpa sempat menghulurkan salam. Teruja barangkali.
“Baru aja nek. Tapi kami dah nak balik.” Abang Fadli menjawab sambil menyalami neneknya.
“Kenapa nak cepat sangat? Dududklah dulu. Rumah kamu tak akan lari.” Seloroh nenek. Kami semua tertawa.
“Kami ada hal. Nak ziarah Pak Mat sakit.”
“Mak pun athma ni. Kamu tahu tak apa ubatnya Daud?” soal nenek.
“Alah mak, kalau ubat athma tu memang senang aje. Mak lari sekitar rumah. Nanti sembuhlah.” Jawab ayah selamba. Berseloroh.
“Ha baguslah tu Daud. Kamu memang nak mak cepat mati.” Tangan kanannya menampar lembut bahu anaknya. Dia tahu Daud hanya berseloroh. Qasrun dan Fadli ketawa memandang keakraban dua beranak itu.

“Maaflah mak. Saya bergurau sahaja. Qasrun, ayah pergi dulu ya. Jagakan nenek dan jaga diri. Belajar bersungguh-sungguh. Ayah tak punya harta nak tinggalkan pada kamu. Hanya ilmu yang akan membantu kamu nanti. Ingat tahu pesan ayah ni.” Tangan kasar ayah disalami lagi. Kenapa hatinya begitu sebak kali ini. Bukan sekali dia menerima pesanan itu dan bukan sekali dia menyalami tangan itu. Tangan kasar itulah yang menjadi bukti kelak usaha ayahnya mencari sesuap nasi buat anak-anaknya. Qasrun hanya mampu mengekori pemergian ayahnya dengan pandangan mata. Jauh dalam sudut hatinya berbisik doa buat ayahnya yang tercinta itu.

1 Mac 2009

Qasrun menerima kunjungan ibunya menjelang waktu rehat di sekolah. Tepat sekali seperti yang dijannikan oleh ayahnya dua hari lepas. Ayah tak pernah memungkiri janjinya.
“Mak sihatkah?” Qasrun memeluk ibunya.
“Sihat saja Qasrun. nah duit belanja kamu. Mak minta maaf sebab lambat hantar. Kamu kena faham, kalau hari hujan kami tak dapat ke kuala kalau hari hujan. Nanti ayah kamu sakit.” Ibu cuba memberi penjelasan. Dua helai not Rm 10 bertukar tangan bersama pisang goreng.
“Tak mengapa mak, qasrun faham. Ayah mana mak?” Soal qasrun kerana tidak kelihatan wajah ayahnya. Kata mak, mereka dari Kok Lanas setelah selesai menjual ikan di sana.
“Ayah ada dalam kereta. Dia malas nak masuk. Ayah sampaikan salamnya pada kamu. Mak pun tak boleh lama-lama kat sini. Hujung minggu ni kamu balik ya Qasrun.” pesan ibunya.
“Baiklah mak. Sampaikan salam qasrun kembali pada ayah.” Sekali lagi dia memeluk ibunya. Kesal hatinya kerana tidak dapat bertemu ayahnya. Namun dia cuba memujuk dirinya sendiri.

2 Mac 2009

Hari persekolahan berjalan seperti biasa. Selesai solat zohor berjemaah, qasrun berborak-borak seketika bersama-sama sahabatnya di masjid berhampiran Sekolah Menengah Ugama Arab Azhariah Melor sementara menunggu kelas tambahan Prinsip Akaun bermula. Namun qasrun sedikit murung tidak seperti kebiasaanya yang selalu riang.
“qasrun, kamu kenapa senyap sahaja?” soal Hafizah, teman rapatnya.
“Tak ada apa. Cuma saya rasa tak sedap hati pula. Hmm lupakan aje. Jom, kelas dah nak mula.” Qasrun sendiri tidak tahu apa puncanya.
Hujan turun dengan lebatnya di luar kelas. Langit kelihatan biru tiada tanda-tanda hujan akan berhenti. Jam di tangan sudah menunjukkan ke angka 3.30 petang. Qasrun ingin segera bergegas pulang ke rumah neneknya kerana hari hujan sukar sekali untuk mendapatkan teksi. Takut nanti kemalaman pula di sekolah.Qasrun dan 3 orang lagi sahabatnya singgah sebentar di Celcom Centre untuk mereload top up.
Nasib mereka agak baik kerana tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan teksi pada hari ini. Syukur pada Ilahi.
Sesampai sahaja di rumah, qasrun segera mencapai telefon bimbitnya di atas meja solek. Butang on ditekan. Memang menjadi kebiasaan qasrun untuk meng‘off’ telefonya sepanjang hari persekolahannya.
Setelah telefon menyala, berderet mesej menyapa inbox qasrun. semuanya panggilan dari abang dan kakaknya.
‘Ahh kebetulan barangkali. Kenapa pula mereka menelefon aku hari ini?’ pelbagai persoalan menerjah ruangan benak qasrun saat itu. Namun dia mengabaikan sahaja.
Azan asar kedengaran dari masjid bersebelahan rumah neneknya. Nombor telefon kakaknya yang berada di Darul Quran ditekan. Khabarnya Kak Aisyah akan pulang malam ini. Qasrun terlalu rapat dengan kakaknya yang seorang itu. Qasrun tidak menunggu lama panggilannya untuk berjawab.
“Hello akak, assalamualaikum. Kakak sihatkah?” soal qasrun seperti biasa. Namun kakaknya hanya diam seribu bahasa. Sayup-sayup kedengaran sedu sedan kakaknya itu.
“Kakak demamkah? Jadi tak pulang malam ini?” soal qasrun lagi. Masih tak bersahut. Tiba-tiba telefon bertukar tangan.



“Hello adik, ini kawan Kak Aisyah. Harap adik banyak bersabar. Ayah adik dah meninggal.” Ucap suara itu. Kelu lidah qasrun. semuanya bagaikan mimpi. Telefon terhempas namun segera di capai. Nombor Kak Hana segera di tekan. Kak Hana salah satu kakaknya yang tinggal bersama ayah di Pasir Tumboh. Panggilan segera bersahut.
“Hello Kak Na. Kat mana ni? Betulkah yang Qasrun dengar?” suara qasrun sebak dan tersekat-sekat. Sukar buatnya untuk meluahkan kata-kata.
“qasrun dengar dulu. Sabar ya. Allah lebih sayangkan ayah. Sekarang akak di Hospital Pasir Puteh. Adik bersiap-siaplah ya. Sekejap lagi adik tumpang van jenazah bersama kami. Arwah ayah akan di bawa pulang ke rumah Pak Su.” Rumah Pak Su tidak jauh dari rumah nenek. Nenek belum mengetahui khabar ini kerana dia tiada dirumah. Kehairanan makin bersarang di hati qasrun. Kenapa ayahnya dari hospital Pasir Puteh sedangkan rumahnya di area Kota Bharu.
Qasrun bergegas ke bilik air untuk berwudu’ dan solat asar. Baju sekolah yang tersarung di badan di tukar. Hujan lebat di redah. Qasrun terpaksa menunggu seketika kerana van jenazah yang dimaksudkan masih dalam perjalanan.
Beberapa minit kemudian, sebuah van jenazah berhenti tepat dihadapannya. Qasrun terasa bagaikan satu mimpi bahawa yang berada dalam van jenazah itu adalah ayahnya. Orang yang telah membawanya mengenal dunia. Air mata tak mampu dikawal. Hatinya luluh. Namun, kaki tetap melangkah menaiki van jenazah itu. Mak ada bersama jenazah ayah di belakang sementara qasrun dan Kak Hana bersama pemandu di bahagian depan.
Segala persiapan telah tersedia sewaktu jenazah tiba. Sudah ramai yang maklum mengenai hal ini. Mak mengarahkan abang untuk menjemput nenek di rumahnya kerana dia belum mengetahui akan hal ini.orang ramai berduyun-duyun datang termasuk beberapa orang sahabat qasrun.
Wajah ayah kelihatan tenang disebalik kain nipis yang menutupi mukanya. Ayah meninggal sewaktu ke Kuala Semerak, Tok Bali untuk menangkap ikan. Malangnya hari hujan dan keadaan terlalu sejuk. Sakit jantung menyerang ayah lagi lalu ayah tidak sedarkan diri lalu menghembuskan nafas yang terakhir tepat jam 2.30 petang di Semerak,tempatnya mencari rezeki. Begitulah informasi yang singgah di telinga qasrun.
Begitu mulianya hatimu ayah. Di saat-saat akhir hayatnya, dia tetap pergi untuk mencari sesuap nasi dan rezeki buat anak-anaknya. Hidupnya tak pernah mengenal erti putus asa dan lelah. Akan tetapi, ayah tidak sempat merasa jasa anak-anaknya.

Tepat jam 11.30 malam, ayah selamat dikebumikan di tanah perkuburan islam Bukit Tanah. Namun qasrun tidak menghadiri pengebumian ayahnya kerana keadaan diri yang tidak mengizinkan. Perasaan bersalah itu menghantui perasaan qasrun sehingga kini. Namun apakan daya, masa itu tidak boleh diundur lagi. Qasrun redha dengan ketentuan yang ditetapkan.
Kini, qasrun belajar untuk redha atas segala takdir. Kehidupan tetap akan diteruskan walau apa jua dugaan yang menanti dihadapan kerana dia tahu, setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati (ali-imran:185). Lalu persiapkanlah wahai diri-diri untuk menghadapi kematian. Hargai insan yang berada di sekelilingmu.jangan nanti apabila dia pergi, baru kita tersedar akan apa yang kita lakukan.
Kini sudah empat tahun peristiwa itu berlalu. Namun, segal-galanya msaih segar diruang minda. Mata ini telah menyaksikan banyak kematian orang-orang yang terdekat.

PUISI BUAT ABI(HJ MOHD DAUD BIN YUSOFF)
ABI,
HADIRMU DALAM HIDUPKU SEKEJAP CUMA,
DIKAU TERLALU BANYAK MENABUR JASA DAN BAKTI,
DEMI KELANGSUNGAN HIDUP PERMATA-PERMATA HATIMU.
ABI,
AKAN KU INGAT SEGALA JERIH PERIHMU,
MEMBANTING TULANG MENGERAH TENAGA,
DEMI SESUAP NASI ANAK-ANAKMU,
ABI,
DIKAU PERGI TATKALA ANAK-ANAKMU SEDANG MENUJU DEWASA,
TATKALA ANAK-ANAKMU MULAI BERJASA,
TATKALA ANAK-ANAKMU MULAI MENGENAL ERTI HIDUP,
NAMUN DIKAU TIDAK PERNAH MERASA..
DIRIMU TIDAK MENGENAL ERTI KESENANGAN DUNIA.
ABI,
SELAMAT MENEMPUH ALAM BARU,
AKU YAKIN DIKAU BAHAGIA DI SANA,
DOAKU DIKAU BERSAMA GOLONGAN AL-MUQORROBIN,
BERSAMA PARA SOLIHIN,
INILAH DOA DARI ANAK-ANAK YANG MERINDUIMU,
MENCINTAIMU SELAMA-LAMANYA…DUHAI ABI…
(AL-FATIHAH……)