Monday 17 December 2012

Rasulullah Qudwah Hassanah


Rasulullah Qudwah Hassanah.
Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup lembut membuatkan tudung yang dipakai Nurul Huda beralun-alun ditiup angin pagi. Suasana di perhentian bas agak gamat dengan mahasiswa dan mahasiswi yang sedang berasak-asak sesama sendiri.
“Laila, sebentar lagi temankan saya ke kafetaria FSU ya? Laparlah,belum sarapan.” Lawa Nurul Huda agak meninggikan suara bagi melawan frekuensi di sekitarnya.
“Sempat lagi ke? Kuliah mula pukul sepuluh.” Soal Laila kembali. Jam ditangan dipandang sekilas.
“InsyaAllah sempat. Masih ada 40 minit lagi. Kita bungkus aje.” Jawab Nurul Huda yakin.
Dari kejauhan kelihatan bas semakin menghampiri. Mahasiswa dan mahasiswi mula beratur bagi mempermudahkan pergerakan.
“Follow the queue please!” arahan tersebut jelas sampai ke telinga mereka. Indahnya berdisiplin.
Sesampai di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Laila dan Nurul Huda segera bergegas ke kafetaria sebelum kuliah bermula. Masa yang ada masih panjang. Jadual hari agak padat memaksa mereka untuk membeli makanan lebih awal dari kebiasaannya.
“Alhamdulillah,nasib baik tak ramai orang waktu-waktu macam ni.” Kata Nurul Huda lega sambil mengurut-urut dadanya.
Ketika melewati sebuah meja, Laila tanpa sengaja telah terlanggar gelas yang berisi jus oren lalu tertumpah di atas buku milik seorang mahasiswi. Laila segera meminta maaf atas kesalahan yang tidak disengajakan.
“Maafkan saya. Saya tidak sengaja.” Laila kelam kabut mengeluarkan sapu tangan dari begnya. Buku yang sedia lencun dilap tergesa-gesa.
“Amboi,senangnya minta maaf. Mata kau tu letak kat mana sebenarnya? Kau dah buta kah? Tak cukup dengan cermin mata yang kau pakai tu?” namun sebaliknya yang diterima oleh Laila. Dia mendongakkan wajah untuk memandang pemilik buku yang sedang menyinga. Semua mata memerhatikan drama yang baru tercipta itu.
“Maaf,saya tahu saya yang bersalah. Tapi benda berlaku secara tidak sengaja. Saya terburu-buru tadi.” Laila cuba untuk mengemis kemaafan sekali lagi. Namun sekali lagi sumpah seranah menghinggapi cuping telinganya. Namun siapa dia untuk terus bersabar. Telinga terasa pana. Kalau diikutkan hati,mahu saja ditampar mulut yang sedang becok menyumpah seranah dirinya di hadapan orang ramai itu.
Kerusi ditolak kasar, buku yang berada di tangan Laila dirampas kasar lalu mahasiswi itu melangkah pergi dengan sumpah seranah yang masih bersisa.
Nurul Huda menghampiri sahabatnya. Ingin ditenangkan hati sahabatnya yang mula berlagu sendu.
“Sabarlah Laila,dia tengah marah. Biasalah tu. Yang penting Laila dah cuba minta maaf dari dia.” Pujuk Nurul Huda meskipun dia turut terkejut dengan kejadian yang berlaku dihadapan matanya.
“Ya Huda,saya tahu. Dia fikir saya tidak punya perasaan. Dia marah saya dihadapan orang ramai. Rasa mahu ditampar-tampar muka dia tadi. Kurang ajar betul bahasa dia.” Luah Laila melepaskan apa yang terbuku didada.
“Cukuplah Laila,benda dah berlaku kan? Tak elok kalau kita terus marah-marah macam ni.”
“Ya,semua yang saya cakap dah tak betul. Awak sendiri sebagai sahabat saya nak sebelahkan Minah Becok itu.” Ungkap Laila geram. Air mata merembes keluar.
“Astaghfirullah,istighfar Laila. Jangan biarkan kemarahan itu menguasai diri awak. Cuba teladani kisah Junjungan Besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Baginda cukup bersabar  walau dicela,dimaki sekalipun diri sendiri disakiti.” Apabila melihat Laila terdiam,Nurul Huda kembali menyambung bicaranya.
“Pernahkan Laila mendengar kisah Rasulullah terhadap seorang pengemis Yahudi yang buta?” soal Nurul Huda ingin memancing minat sahabatnya. Laila menggeleng lemah.
“Dengarlah sahabatku,di pasar Madinah al-Munawarah dahulu hiduplah seorang pengemis Yahudi yang buta. Setiap hari yang dilalui oleh pengemis itu ialah, dia akan berkata ‘wahai saudaraku, jangan kau dekati Muhammad kerana dia orang gila,pembohong, tukang sihir dan apabila kalian mendekatinya,kalian akan dipengaruhinya.’ Pengemis itu tidak tahu bahawa orang yang selalu mendatanginya dan menyuapkan makanan untuknya itu adalah Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam sendiri. Namun baginda tetap berbuat baik kepada pengemis buta tersebut walaupun dirinya sendiri dicaci maki dengan kata-kata yang tidak sepatutnya baginda dengar.” Nurul Huda berjeda seketika. “Namun selepas kewafatan nabi, Abu Bakar as-Siddiq menggantikan tempat nabi untuk mengambil alih tugas menyuapkan makanan kepada pengemis buta tersebut. Apabila menghampiri pengemis itu,perkataan-perkataan buruk yang merendahkan seorang nabi meluncur keluar dari mulut pengemis tersebut. Abu Bakar hairan bagaimana nabi memberi makan kepada orang yang menghinanya setiap hari. Tetapi Abu Bakar cuba mendekati pengemis itu dan memberikannya makanan,akan tetapi pengemis itu mengherdik. Abu Bakar cuba meyakini pengemis itu bahawa dialah yang setiap hari memberi makanan kepada pengemis tersebut. Namun pengemis itu tidak percaya kerana orang yang kebiasaannya lebih lembut dan sabar dalam menyuapinya makan.

‘bukan kamu yang setiap hari memberiku makan! Apabila dia kesini,aku tidak perlu susah untuk memegang makanan malah aku juga tidak perlu susah untuk makan kerana dia telah melembutkan makananku sebelum dimasukkan kedalam mulutku.’ Jawab pengemis itu. Berlinangan air mata Abu Bakar kerana terharu mendengar akhlak Rasulullah. Abu Bakar memberitahu perkara sebenar mengenai Rasulullah. Lantas pengemis itu menangis dan menyesal kerana sebelum ini dia telah menghina-hina kekasih Allah. Saat itu juga pengemis itu mengucap dua kalimah syahadah dan memeluk islam. ” Nurul Huda mengakhiri kisah Junjungan Besar itu.
“Astaghfirullah,saya khilaf  Huda. Saya tak sebaik dan sesabar kekasih Allah.” Lirih suara Laila.
“Tak mengapa,sekalipun kita tidak sesempurna baginda,kita jadikan kisah ini sebagai tauladan dan cuba mengikuti Qudwah Hassanah yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Itulah tanda kita cinta kepadanya.”
“Syukran Huda atas cerita yang cukup bermakna ini. Terima kasih untuk segala-galanya. Aku mencintaimu Ya Rasulallah.” Nurul Huda turut tersenyum.
Melalui kisah ini,ayuhlah teman-teman sefikrah,sedarlah bahawa tiada insan yang layak dicontohi dan dijadikan ikon melainkan dia si kekasih Allah. Akhlaknya bagaikan al-Quran yang bisa melembutkan hati yang keras.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
            “dan tidak Kami utuskan engkau(Muhammad) melainkan untuk rahmat sekalian alam.”(al-Anbia:107)

No comments:

Post a Comment