Tuesday 5 May 2020

Syamail Muhammadiah 12: Cincin Rasulullah

Terasa sedih baca Syamail ke 12, tentang kehilangan cincin Rasulullah di telaga Aris yang mana terletak di kota Madinah. Saya turut meletakkan 1 gambar cincin (Yang digambarkan seperti cincin Rasulullah.  Hakikat sebenar bentuk cincin yang sebenar,  Wallahuallam)
12 Ramadhan 1441H
[Syamail 12: Cincin Rasulullah.]
👉Anas Bin Malik meriwayatkan, maksudnya:
"Ketika Rasulullah S.A.W hendak mengirim surat ke negara asing, Baginda memperoleh maklumat bahawa negara asing tidak akan menerima surat yang tidak bercop mohor. Baginda lalu memerintahkan untuk dibuatkan cincin. Maka saya seakan-akan melihat warna putih cincin itu di telapak tangan Baginda." [Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, abu Dawud dan Ibnu Sa'd]
.
👉 Anas Bin Malik meriwayatkan, maksudnya:"Cincin Rasulullah S.A.W diperbuat dari perak, dan batu cincinnya berasal dari Habsyi." [Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Abu Dawud, Nasa'i dan Ahmad]
😭KE MANA HILANGNYA CINCIN NABI S.A.W
Tersebut di dalam hadis Sohih Bukhari dan Muslim yang diceritakan daripada seorang sahabat yang bernama Anas bin Malik RA katanya, adalah cincin Nabi S.A.W yang terukir Muhammad Rasulullah itu pada masa hayatnya selalu dipakainya, kemudian setelah wafatnya Nabi S.A.W dipakai pula oleh Sayyidina Abu Bakar RA, kemudian setelah wafatnya Abu Bakar RA dipakai pula oleh Sayyidina Umar RA, kemudiannya lagi setelah wafatnya Sayyidina Umar RA, dipakai oleh Sayyidina Usman RA. Dan adalah lama masa yang dipakai oleh Sayyidina Usman itu adalah selama 7 tahun, kemudian pada satu hari pergi Sayyidina Usman ke sebuah perigi yang bernama Aris dan duduk ia di tepi perigi itu. Kemudian dimain-mainkan cincin di jarinya itu,
tiba-tiba cincinnya jatuh ke dalam perigi. Maka kata Anas bin Malik RA yang menceritakan hadis ini kami turun ke dalam perigi itu untuk mencarinya, kami keringkan airnya tapi tiada kami jumpainya, maka berulang alik kami ke perigi itu selama tiga hari namun semuanya hampa.
Maka semenjak dari masa hilangnya cincin Nabi saw itu, keadaan menjadi huru hara, dan terjadi berbagai-bagai perselisihan di antara kaum Muslimin dan timbulnya berbagai-bagai pemberontakan. Juga terjadinya peperangan dan pembunuhan sehingga Sayyidina Usman sendiri berjaya dibunuh oleh pemberontak-pemberontak tersebut. Dan keadaan ini berterusan sehingga ke zaman kita sekarang. Dan mungkin berterusan hingga hari kiamat. Maka jika perhatikan daripada peristiwa itu akan kita temui satu kesimpulan bahawa cincin Nabi S.A.W itu mempunyai rahsia seperti mana cincin Nabi Sulaiman AS, iaitu apabila hilang cincinnya itu maka hilanglah kerajaannya.
Wallahu Alam…
🤗 Semoga dengan mengetahui sedikit sebanyak tentang Rasulullah dapat menambahkan lagi kecintaan kita kepada baginda.. 
اللهم صلى على سيدنا محمد....
#satuharisatusyamail
#bahanbacaanhayat
#sharingaramadhan


No comments:

Post a Comment