Friday, 15 March 2013

abi habibi



ABI HABIBI…
27 feb 2009
Pagi jumaat yang sungguh nyaman dan cuaca yang begitu baik. Angina bertiup membelai pipi Qasrun yang mulus. Selesai membasuh pakaian kotor, qasrun mencapai nota balaghah. Banyak benda yang perlu dihafal meskipun persekolahan masih di awal tahun. Nota dibelek dari muka ke muka dan pipi ke pipi.
“Assalamualaikum..” Sapa suara yang cukup dirindui.
“Waalaikumussalam, ayah!” lantas salam dijawab mesra. Qasrun meluru menuruni anak tangga rumah untuk mendapatkan ayahnya. Tidak disangka ayahnya akan datang melawatnya di hari minggu.
“Kamu sihat, qasrun?” tanya ayah prihatin.
“Alhamdulillah. Ayah bagaimana? Datang seorangkah? Mak mana?”
“Mak kamu tak datang Qasrun. ayah datang dengan abang kamu, Fadli. Dia singgah di masjid tadi.” Jawab ayah sambil menunding jari ke arah yang dimaksudkan. Kelihatan Abang Fadli sedang berbual-bual dengan Pak Long(siak masjid).
“Nenek mana Qasrun? ayah tak nampak dia pun.” Soal ayah lagi.
“Nenek macam biasalah ayah. Pergi mencuci di rumah Cikgu Rahman. Sekejap lagi baliklah tu. Ayah duduklah dulu, qasrun bancuh air sebentar.” Langkah diatur ke dapur. Sudah tiga tahun qasrun tinggal bersama neneknya di rumah yang sedikit using ini setelah keluarganya terpaksa berpindah ke Pasir Tumboh. Kesempitan wang memaksa mereka berbuat demikian.
Kopi panas dan biskut kering dihidang di ruang tamu. Qasrun segera menjemput ayahnya dan abangnya yang baru melangkah masuk untuk menjamah minuman panas kegemarannya itu.
“Ayah datang ni kerana nak bagitahu kamu, ayah belum ada duit belanja untuk kamu. Ayah dah dua hari tak ke kuala untuk menjala ikan. Tapi ayah janji, hari Ahad ayah akan hantar duit belanja kamu di sekolah ya.” Jelas ayah. Penjelasannya menghiris perasaan kecil qasrun. bukan kerana ayahnya tidak mampu untuk menyediakan wang saku buatnya, tapi dia tidak  mahu ayahnya terbeban kerananya. Kedut-kedut di wajah ayah jelas menggambarkan keperitannya menyara dan membesarkan anak-anak.
“Ya Allah, tak mengapa ayah. Qasrun tak kisah pun. Lagipun qasrun masih ada duit belanja sebab nenek selalu aje bagi duit belanja ke sekolah. Ayah jangan risau pasal qasrun lagi ya.” Qasrun cuba menghapus kerisauan yang bermukin di hati ayahnya.
“Betulkah qasrun? kalau macam tu, lega sikit hati ayah.” Senyuman terukir dibibirnya. Itulah kelebihan ayah. Sentiasa tersenyum meskipun diri dihimpit derita.
“Qasrun, kami tak boleh lama-lama disini. Ayah ajak abang pergi rumah Pak Mat sekejap. Katanya dia kena serangan strok.” Abang Fadli bersuara.
“Innalillah. Benarkah? Jadi tak sempatlah ya nak tunggu nenek balik?” tanya qasrun.
“Hmm tak apalah qasrun. lain kali sajalah. Nanti sampaikan salam ayah pada dia.” Qasrun mencapai tudung lalu disarungkan ke kepala.
“MasyaAllah, panjang umur nenek kamu. Tengok tu, dia dah balik. Allah masih bagi jodoh nak jumpa dia lagi.” Ujar ayah tersenyum. Nenek melajukan langkah apabila melihat tetamu yang datang.
“Dah lama kamu samapai, Daud?” soal nenek tanpa sempat menghulurkan salam. Teruja barangkali.
“Baru aja nek. Tapi kami dah nak balik.” Abang Fadli menjawab sambil menyalami neneknya.
“Kenapa nak cepat sangat? Dududklah dulu. Rumah kamu tak akan lari.” Seloroh nenek. Kami semua tertawa.
“Kami ada hal. Nak ziarah Pak Mat sakit.”
“Mak pun athma ni. Kamu tahu tak apa ubatnya Daud?” soal nenek.
“Alah mak, kalau ubat athma tu memang senang aje. Mak lari sekitar rumah. Nanti sembuhlah.” Jawab ayah selamba. Berseloroh.
“Ha baguslah tu Daud. Kamu memang nak mak cepat mati.” Tangan kanannya menampar lembut bahu anaknya. Dia tahu Daud hanya berseloroh. Qasrun dan Fadli ketawa memandang keakraban dua beranak itu.

“Maaflah mak. Saya bergurau sahaja. Qasrun, ayah pergi dulu ya. Jagakan nenek dan jaga diri. Belajar bersungguh-sungguh. Ayah tak punya harta nak tinggalkan pada kamu. Hanya ilmu yang akan membantu kamu nanti. Ingat tahu pesan ayah ni.” Tangan kasar ayah disalami lagi. Kenapa hatinya begitu sebak kali ini. Bukan sekali dia menerima pesanan itu dan bukan sekali dia menyalami tangan itu. Tangan kasar itulah yang menjadi bukti kelak usaha ayahnya mencari sesuap nasi buat anak-anaknya. Qasrun hanya mampu mengekori pemergian ayahnya dengan pandangan mata. Jauh dalam sudut hatinya berbisik doa buat ayahnya yang tercinta itu.

1 Mac 2009

Qasrun menerima kunjungan ibunya menjelang waktu rehat di sekolah. Tepat sekali seperti yang dijannikan oleh ayahnya dua hari lepas. Ayah tak pernah memungkiri janjinya.
“Mak sihatkah?” Qasrun memeluk ibunya.
“Sihat saja Qasrun. nah duit belanja kamu. Mak minta maaf sebab lambat hantar. Kamu kena faham, kalau hari hujan kami tak dapat ke kuala kalau hari hujan. Nanti ayah kamu sakit.” Ibu cuba memberi penjelasan. Dua helai not Rm 10 bertukar tangan bersama pisang goreng.
“Tak mengapa mak, qasrun faham. Ayah mana mak?” Soal qasrun kerana tidak kelihatan wajah ayahnya. Kata mak, mereka dari Kok Lanas setelah selesai menjual ikan di sana.
“Ayah ada dalam kereta. Dia malas nak masuk. Ayah sampaikan salamnya pada kamu. Mak pun tak boleh lama-lama kat sini. Hujung minggu ni kamu balik ya Qasrun.” pesan ibunya.
“Baiklah mak. Sampaikan salam qasrun kembali pada ayah.” Sekali lagi dia memeluk ibunya. Kesal hatinya kerana tidak dapat bertemu ayahnya. Namun dia cuba memujuk dirinya sendiri.

2 Mac 2009

Hari persekolahan berjalan seperti biasa. Selesai solat zohor berjemaah, qasrun berborak-borak seketika bersama-sama sahabatnya di masjid berhampiran Sekolah Menengah Ugama Arab Azhariah Melor sementara menunggu kelas tambahan Prinsip Akaun bermula. Namun qasrun sedikit murung tidak seperti kebiasaanya yang selalu riang.
“qasrun, kamu kenapa senyap sahaja?” soal Hafizah, teman rapatnya.
“Tak ada apa. Cuma saya rasa tak sedap hati pula. Hmm lupakan aje. Jom, kelas dah nak mula.” Qasrun sendiri tidak tahu apa puncanya.
Hujan turun dengan lebatnya di luar kelas. Langit kelihatan biru tiada tanda-tanda hujan akan berhenti. Jam di tangan sudah menunjukkan ke angka 3.30 petang. Qasrun ingin segera bergegas pulang ke rumah neneknya kerana hari hujan sukar sekali untuk mendapatkan teksi. Takut nanti kemalaman pula di sekolah.Qasrun dan 3 orang lagi sahabatnya singgah sebentar di Celcom Centre untuk mereload top up.
Nasib mereka agak baik kerana tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan teksi pada hari ini. Syukur pada Ilahi.
Sesampai sahaja di rumah, qasrun segera mencapai telefon bimbitnya di atas meja solek. Butang on ditekan. Memang menjadi kebiasaan qasrun untuk meng‘off’ telefonya sepanjang hari persekolahannya.
Setelah telefon menyala, berderet mesej menyapa inbox qasrun. semuanya panggilan dari abang dan kakaknya.
‘Ahh kebetulan barangkali. Kenapa pula mereka menelefon aku hari ini?’ pelbagai persoalan menerjah ruangan benak qasrun saat itu. Namun dia mengabaikan sahaja.
Azan asar kedengaran dari masjid bersebelahan rumah neneknya. Nombor telefon kakaknya yang berada di Darul Quran ditekan. Khabarnya Kak Aisyah akan pulang malam ini. Qasrun terlalu rapat dengan kakaknya yang seorang itu. Qasrun tidak menunggu lama panggilannya untuk berjawab.
“Hello akak, assalamualaikum. Kakak sihatkah?” soal qasrun seperti biasa. Namun kakaknya hanya diam seribu bahasa. Sayup-sayup kedengaran sedu sedan kakaknya itu.
“Kakak demamkah? Jadi tak pulang malam ini?” soal qasrun lagi. Masih tak bersahut. Tiba-tiba telefon bertukar tangan.



“Hello adik, ini kawan Kak Aisyah. Harap adik banyak bersabar. Ayah adik dah meninggal.” Ucap suara itu. Kelu lidah qasrun. semuanya bagaikan mimpi. Telefon terhempas namun segera di capai. Nombor Kak Hana segera di tekan. Kak Hana salah satu kakaknya yang tinggal bersama ayah di Pasir Tumboh. Panggilan segera bersahut.
“Hello Kak Na. Kat mana ni? Betulkah yang Qasrun dengar?” suara qasrun sebak dan tersekat-sekat. Sukar buatnya untuk meluahkan kata-kata.
“qasrun dengar dulu. Sabar ya. Allah lebih sayangkan ayah. Sekarang akak di Hospital Pasir Puteh. Adik bersiap-siaplah ya. Sekejap lagi adik tumpang van jenazah bersama kami. Arwah ayah akan di bawa pulang ke rumah Pak Su.” Rumah Pak Su tidak jauh dari rumah nenek. Nenek belum mengetahui khabar ini kerana dia tiada dirumah. Kehairanan makin bersarang di hati qasrun. Kenapa ayahnya dari hospital Pasir Puteh sedangkan rumahnya di area Kota Bharu.
Qasrun bergegas ke bilik air untuk berwudu’ dan solat asar. Baju sekolah yang tersarung di badan di tukar. Hujan lebat di redah. Qasrun terpaksa menunggu seketika kerana van jenazah yang dimaksudkan masih dalam perjalanan.
Beberapa minit kemudian, sebuah van jenazah berhenti tepat dihadapannya. Qasrun terasa bagaikan satu mimpi bahawa yang berada dalam van jenazah itu adalah ayahnya. Orang yang telah membawanya mengenal dunia. Air mata tak mampu dikawal. Hatinya luluh. Namun, kaki tetap melangkah menaiki van jenazah itu. Mak ada bersama jenazah ayah di belakang sementara qasrun dan Kak Hana bersama pemandu di bahagian depan.
Segala persiapan telah tersedia sewaktu jenazah tiba. Sudah ramai yang maklum mengenai hal ini. Mak mengarahkan abang untuk menjemput nenek di rumahnya kerana dia belum mengetahui akan hal ini.orang ramai berduyun-duyun datang termasuk beberapa orang sahabat qasrun.
Wajah ayah kelihatan tenang disebalik kain nipis yang menutupi mukanya. Ayah meninggal sewaktu ke Kuala Semerak, Tok Bali untuk menangkap ikan. Malangnya hari hujan dan keadaan terlalu sejuk. Sakit jantung menyerang ayah lagi lalu ayah tidak sedarkan diri lalu menghembuskan nafas yang terakhir tepat jam 2.30 petang di Semerak,tempatnya mencari rezeki. Begitulah informasi yang singgah di telinga qasrun.
Begitu mulianya hatimu ayah. Di saat-saat akhir hayatnya, dia tetap pergi untuk mencari sesuap nasi dan rezeki buat anak-anaknya. Hidupnya tak pernah mengenal erti putus asa dan lelah. Akan tetapi, ayah tidak sempat merasa jasa anak-anaknya.

Tepat jam 11.30 malam, ayah selamat dikebumikan di tanah perkuburan islam Bukit Tanah. Namun qasrun tidak menghadiri pengebumian ayahnya kerana keadaan diri yang tidak mengizinkan. Perasaan bersalah itu menghantui perasaan qasrun sehingga kini. Namun apakan daya, masa itu tidak boleh diundur lagi. Qasrun redha dengan ketentuan yang ditetapkan.
Kini, qasrun belajar untuk redha atas segala takdir. Kehidupan tetap akan diteruskan walau apa jua dugaan yang menanti dihadapan kerana dia tahu, setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati (ali-imran:185). Lalu persiapkanlah wahai diri-diri untuk menghadapi kematian. Hargai insan yang berada di sekelilingmu.jangan nanti apabila dia pergi, baru kita tersedar akan apa yang kita lakukan.
Kini sudah empat tahun peristiwa itu berlalu. Namun, segal-galanya msaih segar diruang minda. Mata ini telah menyaksikan banyak kematian orang-orang yang terdekat.

PUISI BUAT ABI(HJ MOHD DAUD BIN YUSOFF)
ABI,
HADIRMU DALAM HIDUPKU SEKEJAP CUMA,
DIKAU TERLALU BANYAK MENABUR JASA DAN BAKTI,
DEMI KELANGSUNGAN HIDUP PERMATA-PERMATA HATIMU.
ABI,
AKAN KU INGAT SEGALA JERIH PERIHMU,
MEMBANTING TULANG MENGERAH TENAGA,
DEMI SESUAP NASI ANAK-ANAKMU,
ABI,
DIKAU PERGI TATKALA ANAK-ANAKMU SEDANG MENUJU DEWASA,
TATKALA ANAK-ANAKMU MULAI BERJASA,
TATKALA ANAK-ANAKMU MULAI MENGENAL ERTI HIDUP,
NAMUN DIKAU TIDAK PERNAH MERASA..
DIRIMU TIDAK MENGENAL ERTI KESENANGAN DUNIA.
ABI,
SELAMAT MENEMPUH ALAM BARU,
AKU YAKIN DIKAU BAHAGIA DI SANA,
DOAKU DIKAU BERSAMA GOLONGAN AL-MUQORROBIN,
BERSAMA PARA SOLIHIN,
INILAH DOA DARI ANAK-ANAK YANG MERINDUIMU,
MENCINTAIMU SELAMA-LAMANYA…DUHAI ABI…
(AL-FATIHAH……)

Monday, 31 December 2012

sahabat


 


Lahirnya kita dalam satu fikrah,
Bagi melunaskan misi yang sama,
Menegakkan kebenaran,
Meruntuhkan kebatilan.
SAHABAT,
Ayuhlah kita bersinergi,
Mengotakan janji pada Ilahi,
Andai gugur syahid menanti,
Andai rebah syuga Firdausi sebagai janji.
SAHABAT,
Andai bukan sekarang,bila lagi?
Andai bukan di sini,di mana lagi?
Andai bukan kita,lalu siapa lagi?
Kitalah permata agama yang dicari,
Buat menerangi ummah sejagat,
Selamatkan ummah dari barah yang semakin bernanah,
Selamatkan ummah dari gejala yang kian merebak,
Usah bertangguh-tangguh dalam kebaikan,
Usah berlengah-lengah dalam kebenaran,
Ayuh sahabat ‘Fastabiqul Khairat’,
Jangan goyah dengan mehnah,
Andai perjuangan itu manis,
Pasti ramai menyertainya.
SAHABAT,
Allah berfirman pada malaikatnya,
Pergilah kamu kepada hambaku,
Timpakanlah pelbagai ujian kepadanya,
Kerana aku ingin mendengar rintihannya.
SAHABAT,
Perjuangan itu memang pahit,
Kerana Allah menjanjikan syurga yang manis,
Bersabarlah di alam perjuangan,
Kerana dari Abu Said al-Khudri r.a,
Rasulullah bersabda,
Seseorang itu tidak dikurniakan sesuatu yang lebih baik,
Serta yang lebih luas,
Melainkan bersabar.
(INNALLAHA MA’ASSOBIRIN.)

kematian yang PASTI!!!


Siang tadi aku dikejutkan dengan kematian abang kepada seorang sahabat aku. Tiba-tiba mood ceria sedang membaca buku bertukar serta merta. Memang dia bukan sesiapa dalam hidup aku… namun dia adalah saudara aku seislam. Kepedihan hati sang sahabat turut aku selami.
Manakan tidak,dia tidak sempat untuk bersua-muka dengan abangnya meskipun pada ketika itu nyawa masih terkandung dek badan. Akan tetapi, setibanya dirumah abangnya tiba-ba diserang stroke dan terpaksa diberi bantuan pernafasan. Hajat arwah abangnya untuk bertemu dengannya tidak kesampaian. Begitu juga denganya. 
Jam 12.15 am, abangnya pergi menyahut seruan Ilahi. Ya, kematian itu pasti. Pasti menjenguk sesiapa sahaja. Setibanya aku di bilik, hajatku yang pertama ialah untuk meng ‘update’ status mengenai kematian itu kerana atas permintaan sahabatku sendiri. Namun  keadaan line wifi terlalu perlahan. Aku tinggalkan laptop seketika untuk berwuduk seterusnya solat maghrib.
Setelah internet dapat di akses… aku terus log in facebook. Ape yang terpampang di ruang mataku ketika itu ialah, mesej dari kakakku tercinta. ‘salam dik. Doakan kak. Sudah lima hari akak batuk-batuk berdarah. Take care dear.’
Mesej itu bagai menghempap kepalaku dengan batu yang berat. Namun dihujung pesanan ringkas itu, dia masih sempat berpesan untuk diriku. Mulianya dirimu. Sebenarnya persaan ini dilanda takut dan cemas dengan mesej yang disampaikan oleh kakak. 

Manakan tidak,dialah kakak yang terdekat dengan diriku kala apa jua masalah yang melanda. Aku tidak mahu perkara yang terjadi kepada sahabatku diatas berulang kepada diriku. Ahhh, jahatnya fikiran ku kala ini. Air mata terus bercucuran tidak mampu di bendung. Gelisahnya. Oh, tuhan. Aku tak mampu.
Berbalik kepada kisah sahabatku, setelah selesai pesanan
 di update, hati terasa lega meskipun banyak perasaan lain sedang berselirat di ruang minda. Aku kuatkan semangat. Exam semakin hampir. Begitu juga dengan kakak ku…tarikh peperiksaanku sama dengan nya. Ini bukan kali pertama peristiwa batuk berdarahnya.
Arghhh hanya satu doaku. Supaya dia terus bertahan dengan hidup ini. Sakit itu penghapus dosa-dosa. Hanya yang terpilih mendapat tempatnya… ruang waktu antara kami begitu tebatas. Aku ingin menghargainya, tapi bagaimana?
Teman-teman,andai insan tersayang masih disisimu,hargailah dia. Atau siapapun mereka di hatimu,mereka tetap seorang insan yang akan pergi meninggalkan mu kelak kerana KEMATIAN ITU PASTI!!!

Ketika itu,tiada ruang lagi untuk kita meratapi segala yang terbuku. Dunia tidak akan berbelas kepadamu…



Kematian itu pasti.
Setiap insan pasti akan merasai ‘mati’,
Cuma masanya tak siapa pasti,
Kegerunan Izrail mesti dihadapi,
Walaupun diri mendesak ingin melarikan diri,
Tapi,kenapa perlu menghadapi mati?
Dengar sini…
Mati adalah salah satu tanda kekuasaan Ilahi.
Diam di barzakh menunggu saat tibanya hari penghisaban diri,
Ruang rehat bagi mereka yang iman dan takwa dijadikan pakaian diri,
Tetapi sebaliknya nasib mereka yang sering memungkiri…
Perintah Ilahi..
Jadi,
Buatlah pilihan yang terbaik duhai akhi dan ukhti,
Mana yang lebih kau senangi,
Jika inginkan kesenangan diri,
Bersiap siagalah menghadapi janji Tuhan yang pasti mengunjungi,
Kerana saat tiba kehadirannya kau akan menghadap Ilahi,
Akan tetapi,
Jika kau pilih untuk berfoya-foya lagi…
Maka ingatlah!!!
Tika sampai waktunya janji kan ditepati,
Mustahil sekali untukmu kembali ke dunia buat kesekian kali,
Oleh itu,
Bertaubatlah wahai diri-diri
Yang masih diberi peluang untuk kembali kepada fitrah yang suci…




Monday, 17 December 2012

Rasulullah Qudwah Hassanah


Rasulullah Qudwah Hassanah.
Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup lembut membuatkan tudung yang dipakai Nurul Huda beralun-alun ditiup angin pagi. Suasana di perhentian bas agak gamat dengan mahasiswa dan mahasiswi yang sedang berasak-asak sesama sendiri.
“Laila, sebentar lagi temankan saya ke kafetaria FSU ya? Laparlah,belum sarapan.” Lawa Nurul Huda agak meninggikan suara bagi melawan frekuensi di sekitarnya.
“Sempat lagi ke? Kuliah mula pukul sepuluh.” Soal Laila kembali. Jam ditangan dipandang sekilas.
“InsyaAllah sempat. Masih ada 40 minit lagi. Kita bungkus aje.” Jawab Nurul Huda yakin.
Dari kejauhan kelihatan bas semakin menghampiri. Mahasiswa dan mahasiswi mula beratur bagi mempermudahkan pergerakan.
“Follow the queue please!” arahan tersebut jelas sampai ke telinga mereka. Indahnya berdisiplin.
Sesampai di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Laila dan Nurul Huda segera bergegas ke kafetaria sebelum kuliah bermula. Masa yang ada masih panjang. Jadual hari agak padat memaksa mereka untuk membeli makanan lebih awal dari kebiasaannya.
“Alhamdulillah,nasib baik tak ramai orang waktu-waktu macam ni.” Kata Nurul Huda lega sambil mengurut-urut dadanya.
Ketika melewati sebuah meja, Laila tanpa sengaja telah terlanggar gelas yang berisi jus oren lalu tertumpah di atas buku milik seorang mahasiswi. Laila segera meminta maaf atas kesalahan yang tidak disengajakan.
“Maafkan saya. Saya tidak sengaja.” Laila kelam kabut mengeluarkan sapu tangan dari begnya. Buku yang sedia lencun dilap tergesa-gesa.
“Amboi,senangnya minta maaf. Mata kau tu letak kat mana sebenarnya? Kau dah buta kah? Tak cukup dengan cermin mata yang kau pakai tu?” namun sebaliknya yang diterima oleh Laila. Dia mendongakkan wajah untuk memandang pemilik buku yang sedang menyinga. Semua mata memerhatikan drama yang baru tercipta itu.
“Maaf,saya tahu saya yang bersalah. Tapi benda berlaku secara tidak sengaja. Saya terburu-buru tadi.” Laila cuba untuk mengemis kemaafan sekali lagi. Namun sekali lagi sumpah seranah menghinggapi cuping telinganya. Namun siapa dia untuk terus bersabar. Telinga terasa pana. Kalau diikutkan hati,mahu saja ditampar mulut yang sedang becok menyumpah seranah dirinya di hadapan orang ramai itu.
Kerusi ditolak kasar, buku yang berada di tangan Laila dirampas kasar lalu mahasiswi itu melangkah pergi dengan sumpah seranah yang masih bersisa.
Nurul Huda menghampiri sahabatnya. Ingin ditenangkan hati sahabatnya yang mula berlagu sendu.
“Sabarlah Laila,dia tengah marah. Biasalah tu. Yang penting Laila dah cuba minta maaf dari dia.” Pujuk Nurul Huda meskipun dia turut terkejut dengan kejadian yang berlaku dihadapan matanya.
“Ya Huda,saya tahu. Dia fikir saya tidak punya perasaan. Dia marah saya dihadapan orang ramai. Rasa mahu ditampar-tampar muka dia tadi. Kurang ajar betul bahasa dia.” Luah Laila melepaskan apa yang terbuku didada.
“Cukuplah Laila,benda dah berlaku kan? Tak elok kalau kita terus marah-marah macam ni.”
“Ya,semua yang saya cakap dah tak betul. Awak sendiri sebagai sahabat saya nak sebelahkan Minah Becok itu.” Ungkap Laila geram. Air mata merembes keluar.
“Astaghfirullah,istighfar Laila. Jangan biarkan kemarahan itu menguasai diri awak. Cuba teladani kisah Junjungan Besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Baginda cukup bersabar  walau dicela,dimaki sekalipun diri sendiri disakiti.” Apabila melihat Laila terdiam,Nurul Huda kembali menyambung bicaranya.
“Pernahkan Laila mendengar kisah Rasulullah terhadap seorang pengemis Yahudi yang buta?” soal Nurul Huda ingin memancing minat sahabatnya. Laila menggeleng lemah.
“Dengarlah sahabatku,di pasar Madinah al-Munawarah dahulu hiduplah seorang pengemis Yahudi yang buta. Setiap hari yang dilalui oleh pengemis itu ialah, dia akan berkata ‘wahai saudaraku, jangan kau dekati Muhammad kerana dia orang gila,pembohong, tukang sihir dan apabila kalian mendekatinya,kalian akan dipengaruhinya.’ Pengemis itu tidak tahu bahawa orang yang selalu mendatanginya dan menyuapkan makanan untuknya itu adalah Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam sendiri. Namun baginda tetap berbuat baik kepada pengemis buta tersebut walaupun dirinya sendiri dicaci maki dengan kata-kata yang tidak sepatutnya baginda dengar.” Nurul Huda berjeda seketika. “Namun selepas kewafatan nabi, Abu Bakar as-Siddiq menggantikan tempat nabi untuk mengambil alih tugas menyuapkan makanan kepada pengemis buta tersebut. Apabila menghampiri pengemis itu,perkataan-perkataan buruk yang merendahkan seorang nabi meluncur keluar dari mulut pengemis tersebut. Abu Bakar hairan bagaimana nabi memberi makan kepada orang yang menghinanya setiap hari. Tetapi Abu Bakar cuba mendekati pengemis itu dan memberikannya makanan,akan tetapi pengemis itu mengherdik. Abu Bakar cuba meyakini pengemis itu bahawa dialah yang setiap hari memberi makanan kepada pengemis tersebut. Namun pengemis itu tidak percaya kerana orang yang kebiasaannya lebih lembut dan sabar dalam menyuapinya makan.

‘bukan kamu yang setiap hari memberiku makan! Apabila dia kesini,aku tidak perlu susah untuk memegang makanan malah aku juga tidak perlu susah untuk makan kerana dia telah melembutkan makananku sebelum dimasukkan kedalam mulutku.’ Jawab pengemis itu. Berlinangan air mata Abu Bakar kerana terharu mendengar akhlak Rasulullah. Abu Bakar memberitahu perkara sebenar mengenai Rasulullah. Lantas pengemis itu menangis dan menyesal kerana sebelum ini dia telah menghina-hina kekasih Allah. Saat itu juga pengemis itu mengucap dua kalimah syahadah dan memeluk islam. ” Nurul Huda mengakhiri kisah Junjungan Besar itu.
“Astaghfirullah,saya khilaf  Huda. Saya tak sebaik dan sesabar kekasih Allah.” Lirih suara Laila.
“Tak mengapa,sekalipun kita tidak sesempurna baginda,kita jadikan kisah ini sebagai tauladan dan cuba mengikuti Qudwah Hassanah yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Itulah tanda kita cinta kepadanya.”
“Syukran Huda atas cerita yang cukup bermakna ini. Terima kasih untuk segala-galanya. Aku mencintaimu Ya Rasulallah.” Nurul Huda turut tersenyum.
Melalui kisah ini,ayuhlah teman-teman sefikrah,sedarlah bahawa tiada insan yang layak dicontohi dan dijadikan ikon melainkan dia si kekasih Allah. Akhlaknya bagaikan al-Quran yang bisa melembutkan hati yang keras.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
            “dan tidak Kami utuskan engkau(Muhammad) melainkan untuk rahmat sekalian alam.”(al-Anbia:107)