Kembara Akidah Bumi Marawi
Menelusuri kisah-kisah penderitaan rakyat di Rohingya, Syria,
Palestin dan lain-lain negara minority Islam begitu menyentap hati penulis.
Hampir setiap hari di dada akhbar dan media massa menghidang isu kemasyarakatan
global yang penuh menyayat hati. Tiada siapa yang mampu memekakkan telinga dan
terus membutakan mata keatas apa yang telah menimpa saudara seakidah ini. Berat
mata memandang kesengsaraan mereka, namun berat lagi bahu yang memikul bebanan
kesengsaraan yang melanda.
Pada tahun 2011, Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) telah
melancarkan Global Islamic Student Outreach (GISO) bagi mengukuhkan agenda
pengantarabangsaan dan melahirkan graduan yang berkemahiran holistik dan
berdaya saing. Bekas Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Muhammad Muda berkata,
kelompok sasaran program GISO adalah dari kalangan masyarakat minority Islam
dan Pertubuhan Islam Sedunia (OIC)yang hidup serba kedhaifan, kurang dari segi
pendidikan dan kesihatan.
Sejajar dengan isu yang timbul, mahasiswa Pengajian Akidah dan
Agama (PERWADAH) tampil untuk bahu-membahu sesama masyarakat yang kurang
bernasib baik ini. Berbekalkan tenaga seramai 20 orang mahasiswa dan dua orang
pensyarah pengiring, bumi Marawi Filipina menjadi sasaran GISO kali ini. Kembara
GISO Filipina selama lapan hari ini diketuai oleh saudara Muhamad Zakwan Bakar
yang juga merupakan Mahasiswa tahun empat Pengajian Akidah dan Agama.
Antara modus operandi GISO kali ini ialah tidak lain dan tidak
bukan untuk menyahut matlamat asal GISO dalam memberi khidmat masyarakat
diperingkat antarabangsa, seterusnya menjadi mahasiswa yang prihatin dengan
kebajikan masyarakat Islam seluruh dunia. Selain itu, misi GISO ini juga turut
menyalurkan sumbangan melalui perkongsian ilmu oleh salah seorang peserta GISO,
saudara Muhammad Saiful Azim melalui seminar yang berkisar tentang peranan
masjid di Malaysia. Ditambah pula dengan sedikit sebanyak perkongsian budaya
hidup dan adat resam bersama masyarakat Marawi.
Muhamad Zakwan juga berkata
pada majlis perasmian GISO yang diadakan di Sultan Disomimba Elementary School,
matlamat penting GISO kami adalah untuk mengenali budaya dan mengeratkan lagi
ukhuwah silaturrahim dan jalinan hubungan yang baik sesama Islam
Filipina-Malaysia supaya lebih mengenali satu sama lain. Hal ini amat sesuai
dengan firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat ke 13 yang membawa maksud:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada
kalangan lelaki dan perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku
agar kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang mulia dikalangan kamu adalah yang
paling bertakwa.”
Amat jelas sekali pegangan akidah masyarakat Islam di Marawi masih
utuh dengan berdirinya madrasah tahfiz yang melahirkan ramai permata-permata yang
hafaz 30 juz al-Quran. Malah, Mindanou State University (MSU) turut melahirkan
ramai graduan muslim iaitu 80% anak muslim dan 20% merupakan non-muslim dari
Turki dan Korea.
Menurut Dr. Muhammad Nasief S. Disomimba yang juga merupakan anak
jati Marawi merangkap pensyarah pengiring, Marawi merupakan tempat yang didiami
oleh sejumlah majoriti masyarakat Islam namun serba kekurangan. Dapat kami
saksikan dengan mata sendiri bahawa kenderaan utama mereka adalah (van dan
motor) kenderaan awam . Bukan itu sahaja, mereka turut berdepan dengan masalah
catuan air dan dan bekalan eletrik yang sering terputus. Struktur bangunan
sekolah dan madrasah tahfiz yang uzur sangat menyentuh hati kami. Jauh berbeza
keadaan mereka dan kita. Namun itu bukanlah penghalang besar bagi mereka
lantaran terbiasa hidup susah.
Dalam mematuhi suruhan junjungan besar Rasulullah SAW agar
memuliakan tetamu, kami disambut penuh hormat dan meriah meskipun kehidupan
mereka dhaif. Malah diraikan dengan pelbagai jenis juadah. Sungguh masyarakat
itu ramah dan sangat menerima dengan hati terbuka akan jalinan silaturrahim
dari Malaysia. Komunikasi bukanlah satu masalah besar bagi kami sepanjang
berprogram disana kerana majoriti dari kalangan mereka mampu mengaplikasikan
bahasa inggeris dan arab dengan fasih dalam kehidupan seharian mereka.
Skop GISO bukan terhenti pada perkongsian ilmiah sahaja, malah kami
turut menyumbangkan sumbangan material untuk memenuhi keperluan ibadah
masyarakat muslim disana seperti sumbangan al-Quran wakaf sempena Projek Wakaf
Sejuta Al-Quran, sejadah dan tudung. Misi GISO kami turut menumbangkan dua ekor
lembu sempena kenduri bersama orang kampung di desa Marawi. Dari situ, jelas
sikap kerjasama dan toleransi yang ditunjukkan oleh masyarakat dua serumpun
ini. Selain itu, bimbingan rohani dan moral juga penting buat golongan Islam
yang terpencil. Sebagai mahasiswa yang terdidik dan proaktif, kita haruslah menyahut seruan
aktiviti kemasyarakatan dengan sikap terbuka dan minda yang positif. Dengan
adanya sifat-sifat diatas, maka integrasi aqli dan naqli yang sering
dilaung-laungkan oleh USIM akan dapat dicapai. Dunia memuji amalan murni
seperti GISO yang telah diterapkan kepada pelajar-pelajar USIM.
Imam Syafii menukilkan dalam syair beliau yang berbunyi:
Dan tiadalah duduk setempat bagi orang cerdik dan beradab itu
dianggap sebagai rehat,
Tinggalkanlah tanah air dan mengembaralah,
Berkelanalah.
Engkau akan dapat pengganti orang yang kamu tinggalkan,
Berusahalah,
Kerana keindahan hidup itu ada pada berpenat-penatan,
Aku melihat air yang tenang bertakung mencemar kandungannya
sendiri,
Sekiranya ianya mengalir, ia akan baik.
Sekiranya ia tidak mengalir, ia akan tercemar.
Sehubungan dengan itu, mahasiswa Pengajian Akidah dan Agama serta
semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung menaruh harapan besar
agar segala usaha ini mendapat sokongan dan diterima oleh semua golongan
masyarakat di luar sana malah akan diteruskan lagi oleh generasi seterusnya.
Menyumbanglah dengan apapun sumbangan supaya amal kebajikan tidak hanya
terhenti disini, akan ada nilaiannya disisi Allah kelak.
Penulis:
Siti Nor Hayati bt Mohd Daud
Unit Program dan Pengisian Giso
Marawi Filipina 2015
Mahasiswa Pengajian Akidah dan
Agama, USIM tahun 4.
http://news.usim.edu.my/berita-kampus/item/680-kembara-akidah-usim-ke-bumi-marawi-filipina
Utusan Malaysia 10 October 2015...
Jemput baca semua......