Salam Nisf Sya'ban dan Salam Jumaat Kareem.. entry ari ini saya petik dari cerpen sy Syabab Kasih... mcm mana kita nak bezakan sabar dan mngeluh..hmm ikuti kisa kt bawah.
***********************************************
Khairina al-Hijjazi mengatur langkah lesu memasuki bilik yang
dikhaskan untuk para pelajar ma’zurah(pelajar-pelajar yang ‘uzur’) yang
terletak di Blok B, tingkat 2 bangunan SMASA. Tazkirah pada petang ini akan
disampaikan oleh Ustazah Salmiah .
Setelah pelajar ma’zurah mengambil tempat masing-masing, Ustazah
Salmiah melangkah masuk diiringi Haura selaku pengerusi majlis pada hari ini.
Majlis dibuka dengan bacaan Ummul Furqan, al-Fatihah seperti biasa. Seterusnya
majlis diserahkan kepada Ustazah Salmiah untuk memberi pengisian pada hari ini.
“Assalamualaikum anak-anak yang tercinta. Seperti kebiasaan, hari
ini kita bertemu kembali dalam satu majlis ilmu rutin yang diadakan setiap hari
disekolah kita. Hari ini ustazah nak sentuh sedikit soal antara sabar dan
mengeluh. Ustazah tahu, ramai diantara kita yang tidak tahan apabila diuji
dengan ujian yang berat. Justeru, kita sering mengeluh dengan nasib yang
menimpa kita.” Matanya dilemparkan ke segenap penjuru bilik ma’zurah. “Ustazah
ingin berkongsi satu cerita mengenai keluhan dan kesabaran” ungkap Ustazah
Salmiah. Semua pelajar memberi perhatian dan menunjukkan minat untuk
mendengarnya.
“Satu ketika dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi
menunaikan haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf, tiba-tiba dia melihat seorang
wanita yang bersinar dan berseri wajahnya. ‘Demi Allah aku tidak pernah melihat
wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain kerana itu pasti dia tidak
pernah risau dan bersedih hati.’ Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan yang
keluar dari mulut Abul Hassan lalu dia bertanya, ‘Apakah katamu hai saudaraku?
Demi Allah, aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan duka hati kerana
risau, dan tiada seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini.’ Abul Hassan
bertanya, ‘Bagaimana hal yang merisaukanmu?’ lalu wanita itu menjawab, ‘pada
suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku
mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu,
dan ketika aku bangun membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata
kepada adiknya, ‘Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah
menyembelih kambing?’ jawab adiknya, ‘baiklah kalau begitu.’Lalu disuruh
adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa
ketakutan setelah melihat darah yang memancut keluar dan dia lari ke bukit yang
mana di sana dia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu
sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari
suamiku,tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya
periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya lau habis melecur
kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan
tinggal di daerah lain, maka dia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya.
Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua. ’ Lalu Abul Hassan
bertanya, ‘bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat
itu?’Wanita itu menjawab, ‘Tiada seorangpun yang dapat membezakan antara sabar
dengan mengeluh melainkan dia menemukan diantara keduanya ada jalan yang
berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan
terpuji. Dan adapun mengeluh, maka orang tidak akan medapat ganti melainkan
sia-sia belaka.’ Demikianlah cerita di atas.
“Oleh itu, pelajar yang
disayangi,andai diri diuji, bertahanlah. Cubalah mengukir senyuman walaupun
ianya terlalu pahit. Contohilah wanita itu meskipun diri tak mampu menjadi
sepertinya. Pasti ada kemanisan disebalik semua dugaan yang yang menanti
disebalik semua dugaan yang kita lalui.” Pesan Ustazah Salmiah.
“Ustazah ingin mengakhiri tazkirah pada hari ini satu petikan ayat
al-Quran yang berbunyi,: ‘Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai
dengan kemampuannya.(al-Baqarah:286) ’ sila renung-renungkan ayat itu.
Orang yang sering diuji ialah orang yang paling dekat dan disayangi Allah
kerana allah terlalu rindu untuk mendengar rintih rayu hambanya. Jadi
bersyukurlah. Wallahua’allam.
Khairina mengangguk lemah. Ya, betul apa yang disampaikan oleh
Ustazah Salmiah. Cukup memberi manfaat. Allah sayangkan hambaNya dan Allah
merindui rintihan hambaNya. Oleh sebab itu, Allah datangkan ujian kepada
hamba-hambaNya supaya supaya mereka sedar dan kembali kepada Pencipta.
‘Allah berfirman kepada malaikat,: Pergilah kamu kepada hambaku, timpakanlah
berbagai macam ujian kepadanya kerana aku rindu untuk mendengar suaranya(doa).’
Hadith riwayat Tabrani.
Untungnya menjadi orang mukmin, semakin musibah melanda, semakin
mustajab doanya.